Sunday, April 24, 2011

Mesyuarat Agung Kali ke 29

Tarikh : 23 April 2011 (Sabtu)
Masa : 9.00 pagi
Tempat : Dewan Perdana
Perasmi : Tn Khairuddin Anhar bin Mahmud
Majistret Slim River




Monday, April 18, 2011

Perjumpaan Ibubapa dan Guru-guru Tahun 6

12 April 2011- Para ibubapa calon UPSR 2011 telah dijemput menghadiri satu perjumpaan bersama guru-guru Tahun 6 yang diadakan di Dewan Perdana SK Aminuddin Baki. Majlis bermula sekitar jam 3.00 petang.

Guru Besar, En Abdul Zubiar telah memulakan ucapan dengan diikuti oleh ucapan penyelaras tahun 6 bagi tahun 2011, Pn Sabina yang sebahagian besar ucapannya berkisar tentang pencapai calon UPSR dalam Ujian 1 yang diadakan sebelum ini.

Kira-kira 45 peratus kehadiran ibubapa memenuhi ruang bagi menjayakan majlis kali ini. Walau bagaimanapun, maklum balas dari pihak ibu bapa amat menggalakkan dan berharap diteruskan aktiviti kelas tambahan serta ditambah lagi dengan kelas tambahan berbayar.

"Segala luahan dan pandangan ibubapa akan dibincangkan secara lebih mendalam dan akan diambil tindakan sewajarnya", kata Pn Sabina selaku penyelaras Tahun 6.

Majlis bersurai sekitar jam 5.00 petang.

Tuesday, April 12, 2011

Bola Jaring dan Catur Berkongsi Gelaran Naib Johan

Tahniah diucapkan kepada pasukan bola jaring dan catur sekolah yang telah memperoleh Naib Johan Peringkat Daerah Batang Padang. Menurut jurulatih bola jaring, Pn Hjh Noridah, walaupun gagal memperoleh johan, tetapi semangat pemain sekolah begitu memberangsangkan. Hasil daripada itu, dua orang pemain sekolah ini telah dipilih untuk mewakili pasukan bola jaring peringkat negeri Perak.

Pn Sabina pula tetap bersyukur dengan pencapaian yang diperolehi wakil catur yang telah bersungguh-sungguh beradu kepakaran dan ketajaman akal demi mengharumkan nama sekolah. Menurut beliau lagi, terdapat peserta yang masih berpeluang untuk menyertai lagi pada tahun hadapan dan berharap akan memperoleh johan pula.

Sekalung tahniah daripada PIBG..

Tuesday, April 5, 2011

Mesyuarat Khas Persediaan AGM ke 29

Mesyuarat khas membincangkan persediaan Mesyuarat Agung PIBG kali ke 29 akan diadakan pada ketetapan seperti yang berikut:

Tarikh : 6 April 2011 (Rabu)
Masa : 3.00 petang
Tempat : Bilik Gerakan
Agenda : Rujuk surat panggilan

Semua AJK dijemput hadir

Sunday, April 3, 2011

Kem Motivasi UPSR 2011



1 - 3 April 2011- Satu Kem Motivasi UPSR telah diadakan di Kem D'Sentosa, Chenderiang dengan disertai oleh 60 orang calon UPSR tahun ini.

Semua peserta kem telah bertolak dari sekolah pada jam 10.00 pagi dengan disertai oleh guru-guru pengiring. Menurut penyelaras Tahun 6 (2011), Pn Sabina menyatakan antara sebab dipilih lokasi ini walaupun ianya jauh dari sekolah adalah untuk memberi kelainan kepada murid seterusnya merangsang minda mereka agar lebih terarah serta fokus dalam hala tuju menghadapi UPSR pada bulan September nanti.

Selama tiga hari, murid-murid diberi pengisian jasmani dan rohani yang sebahagiannya dipimpin oleh kakitangan kem. Slot motivasi pula dikendalikan oleh Kaunselor dari SMKA Slim River, Ustaz Ismail Hashim.

Selepas makan tengah hari pada hari Ahad, semua peserta berkemas dan bertolak balik ke Slim River. Pihak PIBG mengharapkan segala usaha yang dilakukan ini akan berjaya meningkatkan motivasi murid-murid seterusnya melayakkan mereka mencapai kejayaan yang cemerlang dalam UPSR nanti...Insyaallah.

MTQ Kelompok 5 Berlangsung Penuh Meriah

31 Mac 2011 - Bertempat di SK Balun, Majlis Tilawah Al Quran dan Mahrajan Kesenian Islam telah berlangsung dengan jayanya. Semua sekolah kelompok 5 telah menghantar wakil peserta untuk dipertandingkan bagi merebut juara dan seterusnya mewakili kelompok ke peringkat daerah.

Antara acara yang dipertandingkan ialah Tilawah, Hafazan, Bercerita, Rawi, Tulisan Jawi, Nasyid dan Kompang. SK Aminuddin Baki telah muncul juara dalam acara nasyid, bercerita lelaki, hafazan lelaki dan tilawah perempuan. Kesemua pemenang akan berentap merebut gelaran juara di peringkat daerah pada 16 April 2011, bertempat di SK Aminuddin Baki.

Tahniah kepada semua pemenang dan tidak dilupa kepada guru-guru pendidikan Islam yang bertungkus lumus melatih mereka...